PADA suatu malam saya masuk ke dalam blog anak saya. Dalam salah satu tulisannya dia merungut terpaksa membantu maknya (saya) membuat kek, walaupun pada malam itu dia berasa kurang sihat. Badannya terasa sengal-sengal dan sakit-sakit.

Apabila terbaca akan keluhan anak saya itu, maka teringatlah saya ketika masa muda dulu. Setiap kali saya berpeluang bersama emak saya semasa cuti, saya akan membantunya membuat sebanyak mungkin kerja rumah yang lazim dibuatnya setiap hari. Ada ketikanya saya juga berasa tak sihat seperti yang dirasai oleh anak saya. Namun disebabkan rasa kasihan pada emak yang tidak pernah ”cuti” daripada kerja-kerja rumah, saya terus juga membantu apa yang terdaya. Tidak sampai hati rasanya membiarkan dia bekerja seorang diri sedang saya duduk berihat.

Kini emak dan bapa saya sudah lama meninggal dunia. Kadang-kadang apabila melihat kawan-kawan yang masih mempunyai ibu-bapa , terasa rindu juga kepada mereka. Kalaulah mereka masih hidup dapatlah saya berjasa lebih lama lagi kepada mereka.

Kepada anak-anak yang masih mempunyai ibu-bapa, cubalah balas jasa mereka sebaik mungkin. Ketika mereka masih hidup kita terlupa bahawa mereka akan meninggalkan kita suatu hari nanti. Apabila mereka sudah tiada barulah terasa rugi kita tidak berpeluang berbakti kepada mereka lagi. Oleh kerana itu rebutlah peluang keemasan ini sementara boleh. Jadilah anak yang s0lih dan solihah. Berdoalah untuk kebaikan mereka ketika masih hidup dan juga selepas kematian mereka.