Hari ini sudah lebih kurang 10 hari kami kembali dari Mesir. Selama 8 hari kami berada di bumi para anbiya’ dan mengalami satu pengalaman yang sangat baru. Selain daripada ke Mekah dan Madinah untuk tujuan beribadah Haji, kami tidak pernah lagi sampai ke mana-mana  negara di Timur Tengah.

Kami tinggal 2 malam di Cairo di Rumah Pahang,  dan 5 malam seterusnya kami  berada di Alexandria. Kedua-dua bandar ini sangatlah berbeza dari sudut lanskapnya. Jikalau di Cairo sangat payah hendak berjumpa  kawasan yang berhijau tetapi di Alex tidak. Sepanjang perjalanan menuju ke bandar Alex dari Cairo, di penuhi dengan ladang-ladang pisang dan tamar di kiri kanan jalan. Ia adalah kawasan delta sungai Nil yang subur.  Sebaliknya di Cairo, di mana saja kita berjumpa padang rumput kita akan nampak orang duduk-duduk berkelah walaupun tempat itu di tepi jalan  yang sibuk. Maklumlah bukan ada pilihan macam kita boleh berkelah di hutan lipur.

Perjalanan dengan kereta dari Cairo ke Alex mengambil masa dalam 2 jam lebih. Di sana kami tinggal di Windsor Palace Hotel yang mengadap ke laut. Pemandangan dari atas kawasan ini sangatlah cantik sekali. Kami ada melawat beberapa kawasan  pelancongan yang terdapat di sini. Tiap-tiap malam, sepanjang tembok yang memisahkan tanah dan laut di depan hotel kami itu dipenuhi manusia tua, muda dan kecil. Mereka duduk-duduk saja sambil menikmati angin laut yang yaman. Ada juga yang berkelah di atas tembok di waktu malam!

Tiap-tiap malam kami keluar mencari kedai makan yang memenuhi selera kami. Beberapa kali kami hanya berjaya makan sandwich dan sayur salad serta jeruk saja. Sebabnya, kerana tidak pandai nak ‘mengorder’ , kerana tidak pandai berbahasa Arab. Namun malam terakhir kami di Alex kami dapat makan nasi dan ayam panggang kerana kebetulan pakcik yang menjual itu boleh berbahas Inggeris sikit-sikit. Lagi pula kedai yang kami singgah itu hanya kedai kecil dan kami ditunjuk  makanan yang ada siap dimasak. Senanglah sikit bila nampak bendanya. Apabila datang yang di ‘order’ selalunya lebih dari apa yang kita minta kerana setiap pesanan selalunya termasuk dua atau tiga jenis salad dan mesti ada jeruk.

Sambil mencari kedai makan kami sempat juga meninjau-ninjau kedai lain. Rupanya orang Arab suka buat shopping waktu malam. Suasana kedai dan orang ramai tidak ubah seperti waktu siang hari. Malah rasanya lebih ramai yang keluar waktu malam. Di taman-taman pun dipenuhi orang, bukan berduaan tetapi berkeluarga. Budaya ini sangatlah berbeza dari negara kita. Saya pernah juga diberitahu oleh seorang kawan yang pernah ke Dubai, di sana juga seperti itu. Mereka ‘bershopping’ sampai lewat malam. Di Alex kami tidak tahu sampai bila kedai dibuka kerana selalunya pukul 10 malam kami sudah balik ke bilik dan waktu itu masih ramai yang berbelanja. Kami sudah tidak mampu berjalan lama waktu malam kerana  sepanjang waktu siang kami berada di luar berjalan.

Kami mula berjaulah ke Mesir sejak 1 Raya lagi dan pulang 11 Raya walaupun berada di sana hanya 8 hari. Jadi jumlah hari perjalanan kami adalah selama 11 hari. Bila balik terasa letih sangat ( sampai demam ) kerana kita  kena teruskan  kehidupan biasa yang tidak mengizinkan kita berihat panjang. Di tambah pula tuntutan bermasyarakat – ikut sekali bermarhaban dan yasinan. Ada juga yang bertanya bila nak buat  ‘open house’? Seperti jiran saya kata buat senyap dan diam saja. Bukan masalah duit sangat tetapi lebih pada tenaga yang kurang berkemampuan. Mungkin lain kali kot kalau ada umur yang panjang, InsyAllah.

coretan oleh:

http://saramsa.wordpress.com

http://www.DuniaHerba.net/saramsa