February 2009


Mukaddimah

“Remaja hari ini adalah pemimpin hari esok.”, “ Pemuda harapan bangsa”, “Remaja tunggak Negara” Itulah beberapa ungkapan yang biasa kita dengar apabila bercakap dengan remaja. Ini adalah satu kenyataan yang tidak boleh dinafikan oleh para remaja, baik yang lelaki maupun perempuan.. Remaja hari ini akan membesar menjadi orang dewasa suatu hari nanti dan merekalah yang akan mengambil alih pucuk kepimpinan negara , negeri, daerah, kawasan, tempat kerja atau pun setidak-tidaknya sebagai ketua keluarga apabila sudah berumah tangga nanti.. Nabi pernah bersabda yang bermaksud:

” Setiap daripada kamu adalah pemimpin.yang bertanggungjawab terhadap mereka yang di bawah jagaannya. Pemimpin negara bertanggungjawab ke atas rakyat di bawah pemerintahannya; seorang lelaki adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap keluarganya; seorang wanita adalah penjaga rumah suami serta anak-anaknya; seorang hamba bertanggungjawab terhadap harta tuannya; kamu semua adalah pemimpin dan bertanggungjawab ke atas mereka yang dalam jagaan kamu.”

( Hadis Sahih Bukhari )

Tiada siapa dalam dunia ini yang boleh lari daripada tanggungjawab masing-masing. Sebagai pelajar , maka menjadi tanggungjawab mereka untuk belajar. Sebagai anak mereka juga ada tanggungjawab terhadap kedua ibu bapa. Sebagai abang, kakak, adik., rakan , jiran dan berbagai-bagai lagi tanggungjawab yang boleh dipikul oleh seorang remaja.

Peranan Remaja

Remaja memainkan peranan penting dalam menentukan maju atau mundurnya suatu bangsa. Malah remaja menjadi tunggak harapan negara. Remaja juga disebut sebagai generasi penerus yang berperanan penting dalam perjuangan bangsa dan negara. Zaman remaja adalah masa muda dalam kehidupan yang penuh dengan tenaga, harapan dan semangat. Adalah penting agar golongan remaja ini diberi didikan dan pengetahuan yang jelas supaya jangan sampai tenaga yang penuh energetik itu disalahgunakan, sehingga timbul berbagai-bagai masalah yang tidak diinginkan samada kepada masyarakat atau pun dirinya sendiri.

Pemuda adalah barisan pemimpin pelapis negara yang akan mencorakkan lanskap negara masa depan. Jikalau rosak akhlak remaja hari ini, bermakna pemimpin negara yang akan datang juga terdiri dari mereka yang tidak berkualiti dan tidak bermoral. Disebabkan inilah remaja hari ini mesti diberi bimbingan dan didikan serta pengetahuan yang cukup sebagai persediaan membina barisan pelapis pemimpin negara yang berwibawa.

Persediaan awal ke atas remaja mestilah memfokuskan kepada 3 peranan remaja yang utama:

1. Remaja sebagai individu
2. Remaja sebagai anak
3. Remaja sebagai ahli masyarakat

1. Remaja sebagai individu

Apa yang dimaksudkan disini ialah tanggungjawab remaja terhadap Rabbnya yakni Allah SWT yang telah menciptanya . Dia hendaklah melihat dirinya sebagai hamba Allah yang kerdil, yang sentiasa mengharapkan petunjuk, pertolongan dan bantuan dariNya. Justeru untuk menjadi remaja yang cemerlang dan berkualiti mereka hendaklah berusaha melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya

2. Remaja sebagai anak

Sebagai seorang anak adalah menjadi kewajipannya mematuhi segala arahan ibu dan bapanya., selagi mana arahan itu tidak bercanggah dengan syariat Allah. Dia harus berusaha menjadi anak yang soleh dengan melakukan kebaikan kepada kedua mereka serta berlemah lembut dengan mereka ketika berbicara. Arahan ini jelas disebut dalam al-Quran surah al-Isra` ayat 23 yang bermaksud :

” Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibubapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya swampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ”ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.”

3. Remaja sebagai ahli masyarakat

Apabila seseorang remaja itu berakhlak mulia , dengan sendirinya dia akan menjadi ahli masyarakat yang baik, berbudi dan perihatin. Dia adalah sebahagian daripada anggota masyarakat dan oleh kerana itu dia harus memainkan peranannya . Jika dia tidak mampu untuk menyumbang sesuatu kepada masyarakat, sekurang-kurangnya dia hendaklah menjauhkan diri daripada sebarang gejala sosial yang boleh merosakkan masyarakat. Sentiasa bekerjasama dalam perkara kebaikan agar kehidupan lebih cemerlang sebagaimana pepatah mengatakan , ”Bersatu teguh bercerai roboh.”

Remaja berkualiti

Remaja berkualiti adalah remaja yang berdiri atas kakinya sendiri iaitu dia tidak seratus peratus bergantung pada ibubapa atau orang lain. Remaja begini akan bersemangat dalam apa juga yang dilakukan; dia akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai apa yang diimpikannya tanpa banyak kerenah. Biasanya remaja yang suka berdikari ini mempunyai personaliti yang menarik iaitu dalam dirinya ada banyak sifat positif yang tertanam atau hidup subur dalam dirinya seperti sifat suka membantu orang lain, berusaha bersungguh-sungguh, menyayangi diri sendiri, ibu bapa, dan masyarakat, tidak mementingkan diri sendiri, bersikap prihatin dan peka dengan persekitaran, serta bersih dari perlakuan buruk .

Cara mendidik anak ada diajarkan oleh Allah SWT seperti yang terdapat dalam Al-Qur’an surah Luqman ayat 13 – 19 yang dapat kita simpulkan sebagai berikut :

1. Menanamkan jiwa tauhid.
2. Menghargai dan menghormati orang tua.
3. Memelihara dan memperlakukan orang tua dengan baik.
4. Kejujuran, bahwa tidak ada satupun yang dapat disembunyikan dihadapan Allah SWT.
5. Mendirikan sholat dan ibadah lain.
6. Mengajak kepada perbuatan baik dan mencegah perbuatan munkar.
7. Bersabar.
8. Melarang keangkuhan dan kesombongan dalam pergaulan.
9. Sederhana dalam sikap, berjalan dan berbicara.

coretan oleh :

http://saramsa.wordpress.com

http://www.DuniaHerba.net/saramsa

Ketika Omar sedang mengelilingi kota dalam kegelapan malam sebagaimana yang biasa dilakukannya, sampailah beliau berhampiran rumah seorang perempuan yang sedang menahan gejolak nafsu karena ditinggal suaminya yang sedang berjihad sekian lama. Untuk sekadar menghibur diri sendiri dalam kesepian yang begitu mendalam, terlantunlah syair ini yang kemudian didengar oleh Umar.

Malam kian larut berselimut gulita
Telah sekian lama tiada kekasih kucumbu
Demi Allah, bila bukan karena mengingat-Mu
Niscaya ranjang ini telah bergoyang
Namun duhai rabbi,
Rasa malu telah menghalangiku…

Penderitaan wanita itu tidak berakhir dalam kemaksiatan. Kesetiaannya masih tegak berdiri seperti gunung memaku bumi. Padahal badai hasrat itu begitu kuat seakan tsunami yang mengaut apa saja di jalanan. Namun ‘al khauf’ ( takut ) yang menghantui jiwanya memenangkan Allah atas segalanya. Hatinya dikuasai Allah, keimanannya begitu unggul, tidak tergugat sedikit pun dengan ujian yang dilalui.

Selepas pertemuan ini, maka Umar bersegera menemui puterinya yang tercinta, Hafshah, kemudian bertanya, “Berapa lama seorang perempuan tahan menunggu suaminya ?“ Dijawablah oleh Hafshah, “empat bulan”. Setelah kejadian tersebut, Umar memerintahkan kepada para panglima perang untuk tidak membiarkan seorangpun dari tenteranya meninggalkan keluarganya lebih dari empat bulan. Begitulah keperihatinan sekaligus penyelesaian seorang pemimpin seperti Umar di zamannya.

Keinginan adalah suatu yang tidak menentu, yang tidak ada penghujungnya terutama dalam kehidupan moden yang materialistik ini. Setelah tercapai suatu keinginan maka timbul pula keinginan lain yang perlu dipenuhi hasratnya. Namun keinginan juga perlu dilihat dari sudut positifnya. Ia hendaklah diletakkan pada kedudukan yang boleh memberikan kepuasan dalam kehidupan. Melaluinya juga kita mampu mencapai cita-cita dan impian serta merancang kehidupan. Di sinilah perlunya keimanan yang boleh mengendalikan nafsu agar tidak tergelincir dari landasan takwa, iaitu melalui akal yang dianugerahkan oleh Allah SWT.

Allah berfirman dalam surah Asy Syams, ayat 7-10 yang bermaksud:

“dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya; sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu; dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.”

Lihatlah apa yang sedang berlaku kepada kaum wanita zaman sekarang. Kalau keterbatasan teknologi di zaman Umar pun hampir menggelincirkan iman seorang wanita mukminah, apatah lagi dengan kita sekarang? Zaman di mana teknologi telah membolosi hampir setiap ruang lingkup kehidupan kita. Malah ketika kita menghadap Allah pun deringan HP mengganggu kekhusyukan kita. Hatta yang sedang bertawaf mengelilingi kaabah pun sempat bergayut dengan HPnya. Sistem kapitalisma dan kehidupan materialistik di zaman moden ini telah menjadikan wanita sebagai bahan dagangan. Apa jua produk yang ingin dijual akan menggunakan wanita sebagai bahan tarikan.

Iklan-iklan dalam televisyen contohnya banyak mempengaruhi kehidupan kita. Jika anda ingin kelihatan jantan dan macho anda harus menghisap rokok tertentu. Supaya perempuan kelihatan cantik, pergunakanlah kosmetik keluaran mereka. Tiap-tiap hari penonton disogokkan dengan hiburan dan cerita-cerita kehebatan artis-artis. Mereka itu dijadikan idola. Bukan sedikit dari kalangan para wanita yang tergila-gila ingin memiliki tubuh badan yang cantik seperti idola mereka. Mereka menganggap bahawa kemuliaan dan kebahagiaan akan didapati bila berwajah cantik, kulit yang putih, dan tubuh yang ramping. OLeh kerana itu tidak hairanlah kalau ada wanita yang bermati-matian memutihkan kulitnya, melakukan plastik sergeri untuk merubah paras rupa, menyuntik ‘botox’ agar sentiasa kelihatan muda dan memakan pil pengurus badan, sehingga boleh memudaratkan kesihatan. Semuannya demi mengejar “glamour”.

Inilah punca masalah terbesar yang sedang kita hadapi dewasa ini iaitu jauh dari Allah, jarang mengingati Allah, dan “dikuasainya” hati kita oleh sesuatu selain Allah. Inilah masalah yang akan mendatangkan banyak masalah lainnya. Di kala jauh dari Allah, maka kita akan sesuka hati berbuat maksiat. Tidak ada lagi rasa malu. Tidak ada lagi rasa diawasi oleh Allah, sehingga tidak ada lagi yang mengendalikan perilaku kita. Maksiat inilah yang kemudian melahirkan ketidaktenangan, kehinaan dan kesengsaraan hidup. Betapa rapuhnya keimanan sehingga kita tidak lagi mampu menangkis cabaran dan godaan yang merupakan ujian dari Allah SWT.

“Apakah engkau tidak perhatikan orang yang telah menjadikan hawa nafsu sebagai tuhannya. Apakah engkau akan dapat menjadi pelindungnya. Atau apakah engkau mengira bahwa kebanyakan mereka itu mendengar atau memahami? Mereka itu hanyalah seperti binatang ternak bahkan lebih sesat lagi.” Qs. Al Furqan: (43-44)

Kecantikan dan kemolekan tubuh tidak dapat dijadikan ukuran kemuliaan. Semua itu tidak menjamin seseorang akan bahagia. Sesungguhnya kemuliaan yang diraih seorang wanita solehah adalah karena kemampuannya untuk menjaga martabatnya (‘iffah) dengan hijab serta iman dan takwa. Dengan iffah, seorang muslimah akan selalu menjaga akhlaknya. Salah satu ciri bahwa imannya kuat adalah kemampuannya memelihara rasa “haya” ( malu ). Sebagaimana terukir dalam hadis Nabi Saw. :

”Malu dan iman itu saling bergandengan, jika hilang salah satunya, maka hilanglah bahagian yang lain.” (HR. Hakim dan At-Thabari).

Adanya rasa malu, membuat segala tutur kata dan tindak tanduknya selalu terkawal. Ia tidak akan melakukan sesuatu yang menyimpang dari bimbingan Al-Quran dan Sunnah. Sehingga dengan akhlak yang dimiliki, ia lebih harum daripada kesturi.

Terkenalnya Khadijah bukan karena kecantikan wajahnya, namun kerana pengorbanannya yang tiada tandingan dalam mendukung perjuangan dakwah Rasulullah SAW. Begitu juga Aisyah ra., salah seorang isteri Nabi dan juga seorang cendikiawan muda; darinya para sahabat mendapat banyak ilmu. Manakala Asma binti Yazid pula terkenal sebagai seorang mujahidah yang membinasakan sembilan tentera Romawi di perang Yarmuk, hanya dengan sebilah tiang khemah. Ini hanyalah beberapa contoh tokoh wanita. Masih ramai lagi wanita mulia yang menyumbang pada ummah di zaman masing-masing. Keharuman dan keabadian nama mereka disebabkan oleh kemampuan mengembangkan nilai diri, menjaga iffah (martabat), dan memelihara diri dari kemaksiatan. Sinar kemuliaan mereka muncul dari dalam diri, bukan hanya luaran. Sinar inilah yang lebih abadi.

coretan oleh :

http://saramsa.wordpress.com

http://www.DuniaHerba.net/saramsa

Rujukan dari Dakwatuna.com