Pada petang hari terakhir tahun 1430  Hijriah, suami mengajak saya ke surau berdekatan untuk menghadiri majlis bacaan doa awal dan akhir tahun. Saya keberatan mengikutnya dan akhirnya dia pergi seorang diri. Malam itu saya pun merayau-rayau dalam internet mencari kesahihan upacara membaca doa khusus ini. Sebenarnya saya tidak pernah berada dalam majlis seperti itu sepanjang hayat saya, dan apabila diajak sekali, timbul perasaan antara percaya dan tak percaya.

Kebetulan pada masa yang sama salah seorang sahabat seperjuangan meminta saya menulis 2 buah artikel yang  ada kaitan dengan tahun baru untuk dimuat dalam lembaran Wasilah (warkah wanita islah) keluaran Januari.

Hasil dari carian saya akhirnya tertulis seperti di bawah:

Doa Awal dan Akhir Tahun – amalan bidaah atau sunnah?


MENJADI kelaziman bagi sebahagian besar umat Islam di Malaysia, apabila berakhir bulan Zulhijjah, mereka melakukan satu upacara doa yang dikenali dengan ‘Doa Awal dan Akhir Tahun’. Ia dibaca selepas waktu Asar, atau sebelum Maghrib pada hari terakhir bulan Zulhijjah. Lafaz doanya ‘disunatkan’ dibaca sebanyak tiga kali, dan dikatakan fadhilat doa ini ialah apabila dibaca, maka syaitan akan berkata, “Kesusahan bagiku, dan sia-sialah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua”. Disebut juga, dengan membaca doa ini Allah akan mengampunkan dosanya setahun.

Begitu besarnya kelebihan yang disebut-sebut tentang doa awal dan akhir tahun ini. Maka tidak hairanlah ramai yang mempercayainya dengan harapan memperolehi kelebihan itu; sehingga di sesetengah sekolah, asrama, atau pejabat-pejabat, ia dibaca secara berkumpulan, dengan dipimpin oleh seorang ustaz selaku tekong dalam upacara doa tersebut dan diaminkan oleh jemaah. Begitu juga di surau-surau dan masjid-masjid tidak ketinggalan menganjurkan majlis—mallis khas bacaan doa ini.

Persoalannya: Adakah doa-doa khas awal tahun yang dibaca, atau majlis-majlis bacaan khusus sempena awal tahun itu berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w?

Jawapan: Tidak pernah Rasulullah s.a.w. mengajar lafaz khusus doa bagi awal tahun baru hijrah atau akhir tahun. Apa tidaknya, penentuan tahun hijrah sebagai perkiraan kalender kita itupun ditetapkan oleh Amirul Mukminin ‘Umar Ibn al-Khattab, bagi memudahkan urusan pentadbiran kaum muslimin. Namun secara umum seseorang boleh berdoa dengan apa-apa lafaz dan untuk apa-apa hajat sekalipun, selagi mana ia tidak menyanggahi syarak, termasuklah hajat agar tahun yang dimasuki tersebut dilimpahkan kebaikan. Adapun majlis-majlis khusus untuk doa atau zikir khas bagi tahun baru tidak pernah diajar Nabi s.a.w, juga para sahabah baginda. Bahkan Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab yang memulakan perkiraan tahun Islam  dengan tahun berlakunya hijrah Nabi s.a.w. itupun tidak pernah mengadakan majlis ibadah khusus yang seperti itu. Tidaklah kita ini lebih tahu mengenai hal ehwal ibadah melebihi Nabi s.a.w. Sebaik-baik petunjuk itu adalah petunjuk Rasulullah s.a.w.

( Ini adalah jawapan daripada Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin apabila diajukan soalan ini.)

Syeikh Bakr Abu Zaid (rahimahullah) menyebut satu kaedah dalam amalan doa, iaitu:

“Setiap orang yang mengada-ngadakan sesuatu dalam urusan ibadah seperti doa dan zikir dalam bentuk yang ditetapkan dengan menganggap ia adalah satu sunnah, sedangkan ia bukan daripadanya, maka dia dihukum berdosa.”

Mungkin ada di kalangan kita yang menganggap ini perkara kecil, tetapi ingatlah kata-kata Imam al-Barbahari,

“Dan awaslah kamu daripada perkara-perkara kecil yang diada-adakan, kerana bidaah-bidaah kecil akan berulang hingga ia menjadi besar”.

Ibn Taimiyyah pula mengatakan,

“Bidaah-bidaah pada permulaannya hanya sejengkal. Kemudian ia bercambah di kalangan pengikut-pengikut, hingga menjadi beberapa hasta, beberapa batu dan beberapa farsakh“. (Satu farsakh bersamaan 3 batu).

Beberapa amalan yang boleh menghapuskan dosa-dosa lepas:

1. Puasa pada Yaumul ‘Asyuro, yaitu tanggal 10 Muharram, sepertimana sabda Rasullah s.a.w. yang bermaksud: “Aku berharap kepada Allah, dengan puasa Asyura ini dapat menghapus dosa selama setahun sebelumnya.” (HR Bukhari dan Muslim).

2. Puasa Arafah pada 9 Zulhijjah. Hukumnya sunnah mu’akkadah (sunnah yang sangat dianjurkan) bagi mereka yang tidakmenunaikan ibadah haji. Rasulullah s.a.w.bersabda:
“Puasa pada hari Arafah, aku berharap kepada Allah menjadi penghapus (dosa) setahun sebelumnya dan setahun sesudahnya.”

(HR. Muslim).

Dalam hadis lain,      “Tidak ada hari-hari yang amal soleh didalamnya lebih Allah cintai kecuali pada hari ini, yaitu: 10 hari bulan Zulhijjah, mereka berkata:  Apakah jihad fisabilillah tidak lebih utama dari itu?, beliau bersabda:  Tidak juga jihad, kecuali seseorang yang keluar
berjihad dengan jiwa dan hartanya dan tidak ada yang kembali satupun.”
(Riwayat Bukhari).

coretan oleh:

http://saramsa.wordpress.com

http://www.DuniaHerbaHPA.net/saramsa